KAMPUNG ORANG ASLI ULU BEKOR
Selamat sejahtera bagi semua yang melawati blog saya ini, kali ni saya akan berkongsi sedikit tentang kampung saya . Nama kampung saya ialah tajuk bagi kali ini dan saya akan menceritakan tentang serba sedikit apa yang saya ketahui tentang kampung ini. Kampung ini terletak di Negeri Perak dan berada didalam daerah Kuala Kangsar , jarak dari Kuala Kangsar ke kampung ini lebih kurang 40 Kilometer dan mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai. Jika melalui Parit jaraknya lebih kurang 20 Kilometer dan mengambil masa 15 ke 20 minit saja. Di kampung ini para penduduknya ialah dari suku kaum Semai ,dan sebagai info tambahan suku kaum Semai ialah antara suku yang terbanyak diantara suku kaum yang terdapat di kalangan Orang Asli.Di daerah Kuala Kangsar ini hanya di kampung ini saja yang kebanyakan penduduknya bersuku kaum Semai, di perkampungan lain di daerah ini kebanyakannya bersuku kaum Temiar .
Nama panggilan kampung ini jika dipanggil dalam kalangan kami Orang Asli ialah Kampung Bekau . Kampung Bekau ialah nama keseluruhan tetapi jika dipecahkan mengikut kawasan didalamnya ada 3 nama iaitu kampung pertama jika baru masuk kampung ialah Pokok , kawasan ni kebanyakannya rumah PPRT . Kampung kedua ialah Kampung Menering atau panggilannya Kampung Rungliq (Panggilan yang biasa kami panggil), dan kampung terakhir ialah Kampung Balang. Secara puratanya , jumlah penduduk yang tinggal di kawasan sini hampir sama . Tentang jumlah penduduk bagi tahun ini saya tidak begitu pasti mungkin dalam 600-700 penduduk saja.
Kampung yang pertama Kampung Pokok, biasanya nama ini hanya para penduduk saja yang memanggilnya ,jika orang luar datang mereka tetap akan menyebut Kampung Menering juga disebabkan kawasan ini dan Kampung Menering berdekatan saja. Di sini kebanyakannya penduduk yang mendapat bantuan rumah PPRT dari kerajaan dan juga kawasan rumah di sini teratur . Dulu sebelum kawasan perumahan ini dibuka ,kawasan ini hanya kawasan ladang pokok getah saja ,mungkin disebabkan itu kawasan ini dipanggil Pokok di kalangan penduduk di sini.
Kampung yang kedua iaitu Kampung Mendering ,kampung ini ialah kampung asal sebelum segelintir penduduknya berpindah ke kawasan rumah PPRT setelah mendapat bantuan rumah. Di kampung ini juga terdapat 2 buah sekolah tadika dan sebuah dewan orang ramai . Di sini juga terdapat 2 padang serba guna ,boleh digunakan untuk bermain Sepak Takraw atau bermain Badminton . Jika ada majlis atau keramaian selalunya di sambut di dewan Orang Ramai ini.
Kampung ketiga ialah Kampung Balang, (kampung ini juga kampung asal dan segelintir penduduk ada yang telah mendapat bantuan rumah PPRT) sebelum sampai ke kampung ini , ada sebuah padang bola sepak bersebelahan kelapa sawit. Di kampung ini juga ada sebuah Gereja dibangunkan oleh penganut Kristian ,rata-rata penduduk di kampung ini beragama Kristian . Ada sebuah padang Sepak Takraw disediakan disini .
Rata-rata penduduk di Kampung Ulu Bekor( Kampung Bekau) para penduduknya bekerja sebagai penoreh getah , kerja di ladang Kelapa Sawit dan segelintir bekerja di luar kampung. Dengan penambahbaikan jalan masuk ke kampung dan infrastruktur yang telah dinaik taraf kini memudahkan penduduk menaik taraf ekonomi hidup masing-masing . Hubungan penduduk dengan kampung sekitar juga sangat baik. Kebanyakan pelajar Orang Asli yang bersekolah rendah akan belajar di Sekolah Kebangsaan Bekor yang terletak di Kampung Bekor ,iaitu sebuah kampung yang para penduduknya berbangsa Melayu dan bagi yang sudah bersekolah menengah pula kebanyakannya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin Manong yang terletak di pekan Manong . Para pelajar Orang Asli biasanya akan menaiki van untuk ke sekolah dan untuk yang bersekolah menengah pula selepas turun dari van mereka pergi ke jeti untuk menaiki bot menyeberangi Sungai Perak untuk ke seberang Manong selepas itu mereka akan berjalan kaki ke sekolah .Itulah kehidupan seharian bagi pelajar Orang Asli dan penduduk Kampung Ulu Bekor . Itu saja perkongsian saya kali ini.Inilah sedikit saja dari pengetahuan saya sebagai penduduk Kampung Ulu Bekor ,jika ada salah dan silap fakta, saya meminta maaf dan jangan segan-segan sila beri tunjuk ajar . Harap anda beri maklum balas di ruangan komen di bawah. Terima Kasih .
tahniah atas pecerahan
BalasPadam